Tuesday, December 14, 2010

Di Hari Pernikahanmu


Sedih..
Tapi apa kan daya..
Allah Maha Merancang segalanya..
Akhir minggu ini dirimu akan diikat dengan pilihanmu..
Maka ku harap, moga kalian berkekalan hingga ke syurga..

Saling ingat-mengingati tujuan Allah menciptakan kita..
Saling bertolak ansur dalam rumah tangga..
Saling lebih memberi daripada menerima..
Saling kasih mengasihi kerana-Nya..

Wahai si dia yang menjadi pilihanmu,
Jagalah pasanganmu sebaiknya..
Pimpinlah dia mengecapi jannah yang diimpikan semua..

Wahai dikau yang bakal menamatkan zaman single mu,
Doaku mengiringi dirimu..

Walaupun diriku tiada di hari persandinganmu..
Walaupun jauh dari pandangan matamu..
Walaupun diriku jauh di perantauan..
Dikau tetap di hatiku..
Menjadi pemangkin cita-cita ku..

Wahai kakakku sayang..
Semoga berbahagia dan berkekalan bersama bakal suamimu..amin~

Adikmu,
Manipal, India

p/s: kalau kakak saya baca ni, mesti dia tergelak-gelak..hahaha

Friday, December 10, 2010

Saya Hanya Makhluk

Ingin saya kongsikan secebis rasa, rasa yang tak tahu apa, tapi membuatkan saya sering terfikir.."Saya hanya makhluk"

Kenapa manusia lebih takut pada manusia sendiri sedangkan Allah itu Maha Melihat ?

Manusia tidak selalu bersama tapi Allah itu sentiasa ada..

Sudah acap kali saya melihat perkara yang sama berulang-ulang

Kisah 1

"Aku tak nak pergi lah, benda ni lagho..Lebih-lebih lagi ada lelaki." kata saya.

"Kau kena pergi, kalau kau pergi, atleast dorang respect kau. Dorg akan terkawal sikit lah"kata teman saya.

Akhirnya saya pon join kawan-kawan bercuti di pantai. Alhamdulillah, semuanya menjaga adab pergaulan.

Selepas beberapa jam berlalu dan melihatkan keadaan baik-baik sahaja, saya pon pulang dahulu, menemani kawan saya yang terpaksa balik untuk mengikuti usrah.

Keesokan harinya,

"Ada apa-apa ke yang berlaku selepas aku balik tu?"tanya saya

"erm...lepas kau balik, budak-budak lelaki main bola sama-sama..ada jugak perempuan yang main sama-sama."

Terkilan saya..saya ni makhluk saja, walaupun saya tak ada tapi Allah sentiasa melihat..

Kisah 2

Baru-baru ini saya dan kawan-kawan pergi ke Mangalore untuk membeli belah..

Sesampainya di satu Mall, saya terlihat ada cinema, besar..di Manipal tiada panggung wayang.

Dalam hati saya, harap-harap dorg tak pergi tengok wayang..Gusar sungguh..

Namun, Alhamdulillah, semuanya seolah-olah tak terdetik nak masuk ke situ..

Saya agak pelik pada mulanya, kerana sudah sedia maklum mereka gemar menonton wayang.

Namun begitu tetap bersyukur, akhirnya, kami pun pulang dengan selamat tanpa berlaku apa-apa yang tak menyenangkan.

Keesokan harinya..

Saya terdengar ada kawan-kawan saya yang bersama-sama pergi ke Mangalore semalam, pergi lagi ke sana.

Untuk apa? Untuk menonton wayang...

Sekali lagi ingin saya tekankan, saya hanya seorang makhluk..saya ada atau tidak ada bukan menjadi soal, tapi sejauh mana taqwa kita kepada Allah.

Ingatlah, apa jua yang kita lakukan akan ditanya kelak oleh Allah, dan sekiranya kita ada jawapan yang kukuh, maka, lakukanlah.

Akhir kata, takutlah pada Yang Maha Melihat.

Tuesday, December 7, 2010

Mencari dia yang mula hilang



Astaghfirullah..astaghfirullah..astaghfirullah..

Dia..
Dulunya seorang yang hidup tanpa tahu apa ertinya kehidupan ini..

Dia..
Hidupnya tanpa kenal apa itu akhirat..

Dia..
Merasa denyut nadinya tidak akan terhenti..

Dia..
Meletakkan ilah selain Yang Maha Esa..

Namun, syukur dia berpeluang menjadi Dia yang baru..

Dia yang baru itu..
Bukan lagi dia yang lama..

Dia yang baru itu..
Mula mengejar akhirat yang kekal abadi..

Dia yang baru itu..
Mula memperbanyakkan ilmu akhirat..

Dia yang baru itu..
Mula berjuang demi agama Allah..

Namun, dia yang baru mula selesa kerana dia sudah menjadi dia yang baru..
Matlamat nya mula dilupai..
Ingatlah wahai Dia, Dia itu bukan ingin mengejar syurga tetapi ingin menempah syurga yang teratas..

Pantas kah amalnya tidak bertambah?
Pantaskah graf imannya mendatar sahaja?

Tika saat itu, Allah mengetuk imannya kembali..
Menitis air matanya lantas dikurniakan hidayah oleh Allah buat kali kedua..

"Allah masih sayang dia"

Alhamdulillah..

Saturday, November 13, 2010

Teguran yang hebat! part 2


sambungan part 1...


Hari sudah pun senja..langit oren kemerah-merahan..Subhanallah!cantiknya permandangan.

Sekejap masa berlalu, sudah tiba waktu Maghrib..


SOLAT SEORANG MUSAFIR

Kami pun mencari-cari arah kiblat berpandukan alam ciptaan Allah..

Cuaca sudah tersangat gelap. Khuatir juga kerana banyak anjing berkeliaran di pantai..

Setelah menentukan kiblat, kami pon solat berhadapan laut yang tenang..

Subhanallah, kami solat Maghrib berjemaah di tengah-tengah pantai..

Sayu sungguh tersentuh dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran, bertemankan desiran ombak, bayu pantai yang sejuk, cahaya pula samar-samar saja..tenang dan mendamaikan hati..

Hebat sungguh alam dunia ciptaan Allah, apatah lagi di syurga sana..

Maksud terjemahan Al-Quran:
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,

(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(Surah Ali Imran: 190 dan 191)

Menitis juga air mata tatkala terngiang lagu Raihan dalam cerita Syukur 21,


"Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai...
Dengan rahmatMu...ampunkan daku...Oh Tuhanku.."

Hidup ini singkat, entah bila pula giliran kita..pengakhiran yang boleh jadi husnul khotimah atau sebaliknya..yang pasti, memang ada akhirnya kehidupan ini..insaf sungguh..

SHARING SESSION

Setelah solat, kami pon membuat sedikit sharing-sharing bersebelahan patung Mahatma Ghandi..

Terkesan sungguh dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang sahabat tentang pengalaman sekumpulan pelajar Muslimah Bangalore.

Kisahnya berlaku di kedai kasut di Bangalore,

Waktu solat sudah hampir habis, tapi niat di hati mereka, akan bergegas balik untuk solat di bilik selepas selesai membeli kasut..

Dalam asyik memilih kasut, owner kedai kasut itu bertanya kepada mereka,

"Have you all *namas?"tanya pakcik India tu.

Mungkin dia mampu mengagak mereka ini Muslim melalui pemakaian mereka.

"We have'nt namas yet."serba salah nak jawab.

"You have'nt namas?! It is already late"terkejut pakcik itu..memang dah tersangat lambat pun..

Pakcik itu pun menasihati mereka untuk solat segera. Baik sungguh hati pakcik itu, bukan sahaja nasihat mereka untuk segera solat, malah menawarkan kepada mereka untuk menggunakan satu bilik di dalam kedai itu..Bukan itu sahaja, demi keselesaan mereka, pakcik itu juga mencuci lantai bilik tersebut dan mengalaskan dengan plastik-plastik kedai.

Mulianya hati pakcik itu..

Tak pernah saya terbanyangkan akan ada seorang pekedai bertanya pelanggannya, "Awak dah solat?"

Inikan pula menyediakan tempat (yang asalnya bukan surau) untuk pelanggan yang belum pernah dikenali untuk tumpang solat.

Dalam tak sedar, sebenarnya itulah teguran Allah, bukan mereka saja malah buat kita semua yang mengetahui kisah ini. Iaitu, jangan melambatkan solat!

Mari kita renungkan hadith ini:

Abdullah bin Mas`ud telah bertanya kepada Rasululullah SAW: " Apakah amalan yang paling disukai Allah SWT?" Sabda Rasulullah: "Solat pada waktunya." Kata Abdullah: "Kemudian apa?" Sabda Rasulullah: "Berbuat baik kepada ibu bapa." "Kemudian apa lagi?"tanya Abdullah. Jawab Rasulullah :"Berjihad di jalan Allah SWT"

Riwayat Bukhari & Muslim


Boleh saja sekiranya Allah menegur kita yang melengahkan solat dengan menimpakan kemalangan jalan raya, bala, dan sebagainya. Boleh jadi juga, Allah tidak lagi menegur kita, tetapi menghentikan nafas kita. Dan waktu itu, tiada alasan untuk kembali ke dunia untuk melaksanakan solat yang kita lengahkan itu.

Buat renungan semua, "Masa kita di dunia semakin singkat, bersediakah kita untuk ke akhirat?" tepuk dada, tanya iman.


*p/s:
  • namas bermaksud solat
  • Dalam ayat 191 daripada surah Ali Imran, ada doa yang boleh kita semua baca ketika melihat keindahan alam.

Sunday, October 31, 2010

Teguran yang hebat!

Salam warahmatullah

Seronoknya 2 hari ini, adik beradik seusrah ziarah kami di Manipal. bangalore ke Manipal tersangatlah jauh, tapi kerana ikatan ukhwah yang kuat, jalan yang jauh pun terasa dekat..(ayat puitis tu)

Malpe Beach..

Believe it or not, di pantai ni, saya menaiki unta. Wah, menaiki unta di atas pasir-pasir pantai sambil dikelilingi warga India(pelancong asing la katakan)..pelik tapi benar.hehe

Sesi dialog di atas unta:

Adziemah: "Wah, kita dapat naik haiwan tunggangan Rasulullah s.a.w..seronoknya!!"saya sungguh teruja..

Atikah: "Aah la..wow hebatnya!!"

Adziemah: "Siap atas pasir lagi tu, macam ayat-ayat cinta"

Begitu lah situasinya apabila Malaysian jumpa unta..


Bersambung...

p/s: buat masa sekarang, kisah-kisah saya akan bersambung-sambung..memandangkan kesuntukan masa..

Friday, October 22, 2010

"Beli kat Malaysia ! "

Tempat kejadian: Malaysia

Situasi 1


Pada satu petang, Ali sedang membeli-belah di sebuah pusat membeli-belah, kedengaran daripada corong radio, "Belilah barangan tempatan"

Ali tergelak mendengar ayat tersebut. "Barangan Malaysia? ee..tolonglah..tak berkualiti langsung!"kata Ali dengan penuh angkuh.

Sering kali kita dengar barangan tempatan diperlekehkan dan diketepikan. Kadang-kadang bukan kerana kualiti tetapi jenama yang berbaur 'tempatan'.

Mungkin saya tergolong diantara golongan terbabit. Sehinggalah peristiwa di bawah berlaku...

Tempat kejadian: Manipal,India

Situasi 1

"Wah, lawanya botol air kau ni. Berkualiti tu. Nak beli jugak la. Beli kat kedai mana?"tanya M sambil mengetuk-ngetuk botol tersebut. Dia sangat teruja untuk tahu.

"Saya bawa dari Malaysia.."sambil menunjukkan riak penuh kebanggaan.

Situasi 2

"Cantiknya payung!!!Beli kat mana?"

"Mestilah Malaysia. Tak ada maknanya kat sini ada jual payung secantik ni."berlagak sungguh bunyinya.

*sekadar gambar hiasan. Ops, silap letak gambar. Sepatutnya letak gambar payung Malaysia. Tapi tak apala. Ini payung kat Jepun, best kan? Mungkin boleh cuba jual kat Malaysia.

Situasi 3

"Cuba picit-picit roti tu, lembut ke tak.."tanya B. Hampir kesemua roti yang ade di kedai tersebut dipicit-picit oleh B.

"Semuanya keras lah.."keluh rakan B..kecewa..

"Memang tak ada roti selembut Gardenia or High-five ke kat sini? Semuanya keras.."B membebel-bebel.


Pak cik kedai pula menjeling semacam ke arah mereka..

Mungkin dalam hati dia, dia tertanya-tanya, "Apa yang budak dua orang ni buat, di picit-picit roti tu. Nak beli ke nak hancurkan?"(dalam bahasa karnada..lebih kurang bahasa hindustan)

(Selingan: Untuk pengetahuan, pernah 1 hari, saya nak lipat roti tu, sampai terpatah dua, bayangkan kekerasannya..)

Begitulah sedikit kisah yang boleh saya kongsikan, bila berada di sini, makin lama, makin rasa sayang dengan tanah air tercinta. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. (siap ada pepatah melayu..macam karangan Bahasa Malaysia).

Teringat kalimah-kalimah cinta teragung iaitu...

Maksud firman Allah swt:

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.
Surat 14. IBRAHIM - Ayat 7

Sebenarnya, kita hanya akan bersyukur apabila sesuatu nikmat itu hilang. Jadi, buat sesiapa yang asyik merungut tak puas hati dengan kehidupan anda, tengok lah orang yang lebih teruk keadaanya daripada anda.

Jangan melihat orang yang lebih senang, nanti hilang rasa syukur, timbul pula rasa kufur..

Akhir kata, tajuk sharing kali ini ialah: SYUKUR, ALHAMDULILLAH...

Monday, October 18, 2010

Di Manipal, India-part 2

Bismillahirahmanirrahim..

Terima kasih cik Ran Itchuki a.k.a cik ipah dan seorang lagi yang tak perkenalkan diri atas cubaan anda.

Macam dah boleh dijangka jawapannya kan?

Cerita seterusnya bersambung...

"Allahu akbar..Allahu akbar.."

Seluruh warga dewan terdiam..

Sunyi..

Cepat-cepat seseorang bertindak menutup azan..

Tidak kelihatan siapa empunya tangan tersebut..

Lagu hindustan menjadi pilihan si dia..

Penari-penari kegirangan lantas memulakan langkah tarian yang mengasyikkan..

Sejurus mereka mula menari dan sedetik setelah azan dimatikan, hampir separuh dewan bertepuk tangan kegembiraan..

Bukan itu sahaja malah sorakan juga bersahutan..

Terkejut saya..terkilan..speechless..

Mata saya tertangkap pada seorang jejaka Muslim di hadapan saya..

"Amboi, gembiranya dia bertepuk tangan.."hati saya bertambah geram..bukan setakat tak menghormati azan, malah mereka boleh bersorak!!!!

Untuk pengetahuan, hampir separuh warga dewan adalah orang Islam. Malah ada antara AJK Pelaksana pun terdiri daripada kalangan Muslim.

Pada asalnya, saya memang bercadang untuk melarikan diri daripada konsert terbabit. Lari ke Pejabat Polis untuk selesaikan urusan pasport pelajar luar negara. Masih berbaki setengah jam daripada masa yang dirancang untuk beredar secara senyap-senyap daripada majlis lagho itu.

Tapi, melihatkan apa yang berlaku pada waktu itu, saya mengajak kawan-kawan saya untuk beredar sahaja daripada majlis tersebut. Dengan harapan akan ada yang terfikir kenapa saya bertindak sebegitu. Kami pun keluar dengan perasaan yang sangat hampa...meninggalkan majlis yang dikatakan 'wajib' itu..

Saturday, October 16, 2010

Di Manipal,India..

Majlis Orientasi MMMC

Dalam 1 majlis wajib anjuran senior bagi menyambut junior, ada macam-macam persembahan diadakan. First time di bumi india, dah dihidangkan dengan tarian dan nyanyian..em, terdiam seketika..

Komen: dahsyat!

Tiada Muslim yang terlibat dengan tarian campuran itu. Sedikit berita baik, mungkin. Mungkin juga tidak kerana penonton ada yang Muslim. Sedikit bayangan tentang tarian tersebut.

  • tarian secara berpasangan lelaki dan perempuan
  • lebih daripada 3 pasangan
  • lagu: bollywood
  • 3 buah lagu (mungkin)
  • pakaian: em..no komen (seksi sangat!)
Nak dijadikan cerita, pada petang tersebut, sebuah laptop sedang asyik mengalunkan irama bollywood bagi mengiringi tarian tersebut. Tiba-tiba laptop tersebut mengeluarkan azan. Azan Asar berkumandang...

"Allahu akbar...Allahu Akbar.."

Seluruh warga dewan terdiam..

Sunyi..

Cepat-cepat seseorang bertindak..

Soalan saya, apa yang terjadi seterusnya?

Pilihan jawapan :

a) tutup lagu hindustan
b) tutup azan yang berkumandang

Sila jawab dulu ya....

Jawapan yang salah takkan dikenakan penalti, manakala yang betul hanya akan di ucapkan, "em, jawapan anda betul"

Kalo dapat sambutan barulah cerita ini bersambung..

Maybe akan bersambung~

Saturday, October 9, 2010

'Experiment' Baju Raya




Ecah menggayakan baju raya baru sambil memakan kuih raya

Salam warahmatullah..

Seperti yang dijanjikan, inilah gambar baju kurung raya untuk anak sedara yang bernama `aisyah safiyah a.k.a ecah..hasil daripada experiment menjahit atas tunjuk ajar ibu tersayang..

p/s: kepada abi dan ummi ecah, tak kisah kan kalau letak gambar ecah kat sini?hehe..terima kasih :)

Wednesday, September 1, 2010

Packing~

Salam warahmatullah,

Begitu cepat masa berlalu, tak lama lagi akan bermusafir ke negara asing. Teringat 'TO DO LIST' yang saya buat sejurus selepas Final Exam A-Level. Antaranya:-

  • memperbanyak hafazan Al-Quran
  • cuba habiskan buku Raheeq Makhtum (sirah Rasulullah s.a.w)
  • baca buku-buku sirah sahabat
  • belajar memasak macam-macam daripada Chief Chef = ibu ^^(alhamdulillah, banyak resepi berjaya saya muatkan dalam buku resepi elektronik..)
  • belajar menjahit baju kurung (tak lama lagi akan berjaya menghasilkan baju raya buat si kecil ecah..seronoknya!kalau dah siap nanti, saya postkan gambar)
  • ambil kelas bahasa arab
Apabila saya check, ada juga yang belum terlaksana dengan jayanya. Walau bagaimanapun, syukur ada buat senarai, kalau tidak, tidur dan tengok tv saja lah jawabnya.

*Moral of the story = kepada yang akan bercuti panjang, sila plan masa cuti anda sebaik-baiknya. Paling penting, buat seperti dirancang.




Bertebaran di bumi India




Melaka Manipal Medical College..inilah tempat yang bakal menyaksikan usaha gigih saya untuk menjadi doktor muslim yang SUPER. InsyaAllah.

Bila di fikir-fikir, rasa seperti Khalid Al-Walid, mengembara ke pelusuk dunia bagi menyampaikan risalah. Bezanya cuma, jenis jihad dan pengangkutan.

Zaman sekarang, kalau tunggang kuda macam panglima Khalid Al-Walid, mesti terlepas 1 semester pengajian di sana. hehe..(.entah-entah kuda sampai India tapi saya tertinggal di tengah perjalanan)

Packing bag

Terima kasih Hasenah (Sen) a.k.a bakal senior yang sebaya. Sen ni antara ahli geng stay up BATWOMEN semasa di SESERI. Terima kasih sebab sudi share list keperluan yang perlu di bawa. ^^



Tapi terasa berat hati sungguh nak pack barang..mungkin disebabkan banyak sungguh perkara yang menyedihkan baru-baru ini..tak patut..tak patut macam ni..Ya Allah, kuatkan semangatku dan damaikanlah hatiku...ameen..

Buku-buku WAJIB bawa

Ustaz nasihat kami supaya jangan lupa bawa buku-buku wajib..

Ustaz pesan."Kamu semua jangan lupa bawa buku Raheeq makhtum, Muntalaq, Fiqh Sirah, buku tu..buku ni.. (ustaz telah menyenaraikan buku yang sangat banyak)"

"bawa softcopy boleh tak ustaz?"saya bertanya. (lebih ringan)

"kalau softcopy, enti malas nak baca nanti. Ustaz tahulah."bidas ustaz. (betulla kata ustaz, sebab baca softcopy raheeq makhtum lah, saya tak khatam-khatam lagi. Sakit mata dan malas nak menghadap laptop 24 jam)

"Tak payah bawa banyak sangat makanan, rugi nanti. Kalau makanan, akan habis, tapi kalau buku, tak akan habis dan berguna sampai bila-bila. Lagipun buku-buku ini tak ada jual kat sana, nanti hati kosong kalau tak diisi." tambah ustaz lagi.

Betul tu, keperluan seorang Da`ie ialah ilmu yang sohih. Ilmu tanpa amal sia-sia, amal tanpa ilmu akan sesat. Hati ini ibarat tanah, kalau tak disiram, maka kering kontang lah ia. Lalu, pohon ataupun amalan pun akan mati.

Akhir kata, doakan saya bersemangat semula..Allahu akbar!

Info: Raheeq makhtum (the sealed nectar) mengisahkan sirah Nabi Muhammad s.a.w. yang ditulis oleh Syeikh Safy Al-Rahman al-Mubarakfuriyy, telah memenangi hadiah tempat pertama pertandingan Seerah Rabitah Alam Islam,Mekah.

Wassalam

Saturday, August 28, 2010

Mari berbahasa Kelantan

Salam warahmatullah,

APABILA PAK ARAB 'KECEK KLATE'

Sukacita ingin saya ceritakan tentang video di bawah ini. Video ini dijumpai di blog ini. Saya letak semula video ini di blog c-u-d-jannah supaya pembaca blog ini pun dapat menontonnya.

video


Macam mana? Menarikkan?

Teringat hari itu saya ajak ibu dan ayah tengok video ini bersama-sama, Ya Allah, ibu ayah gelak tak sudah-sudah. Ibu memang orang kelantan, ayah pula orang selangor. Walaupun bukan orang kelantan, ayah hebat kecek klate.

Ayat paling best yang pak Arab ini sebut :-

"Sayo suko makan *budu" ^^

Point saya bukan nak cerita pasal 'orang Arab pandai cakap kelantan'.

Sebenarnya saya nak cerita tentang orang Melayu pandai berbahasa Arab. Teringat satu kuliah subuh ini, penceramah tu cakap Dewan Pustaka Bahasa telah menggunakan 1600 perkataan yang dipinjam daripada Bahasa Arab. Contohnya:- iman, hidayah, istiqamah. Kalau nak ikutkan, kita-kita ini pandai cakap bahasa arab la kan? hehe..hebat..hebat..

KELAS BAHASA ARAB


Al-kisah bermula apabila saya mengajukan hasrat untuk belajar bahasa Arab kepada ibu. Memandangkan cuti panjang.

Ibu kata "Ada Ustazah ****** ni buat kelas tambahan bahasa arab, dekat saja, dekat bangi"

"Ha? Itu Ustazah yang ajar kite bahasa Arab masa form 1 dengan form 2 kat SMK Saujana Impian" saya terkejut bukan kepalang. Tak kusangka-sangka.

Ustazah telah menempatkan saya di kelas bersama Tingakatan 4 memandangkan Ustazah rasa saya sudah ada basic (tapi ustazah, saya dah lama sangat tinggalkan bahasa Arab, dah tak ingat.. ^^' )

Di kelas itu, terasa diri ini sedikit 'tua'..tapi tak kisahla, bukan orang perasan. Muka macam sebaya (perasan!)

Suami ustazah yang mengajar. Sepanjang kelas, saya terlopong saja sebab ustaz cakap bahasa Arab. Ya Allah, tak paham apa-apa. Oleh sebab ustaz perasan muka saya berkerut-kerut, kadang-kadang ustaz terangkan maksudnya.

Banyak istilah yang saya tak faham. Sesetengah perkataan saya rujuk kepada adik yang di sebelah saya. Rupa-rupanya, maksud perkataan-perkataan itu ialah baris atas, baris bawah, dan baris hadapan. Maaflah, tak dapat nak tulis kat sini sebab dah tak ingat istilah tersebut. Orang belajar bahasa Arab mungkin tahu.

Sesudah kelas tamat, saya pun berfikir, "susahnya!!! susah sangat!!"

Hajat di hati nak berhenti, tapi bila teringat pak Arab ini belajar bahasa Melayu sampai bertahun-tahun, saya pun bertekad untuk tidak berputus asa.

~USAHA TANGGA KEJAYAAN~



Sumber: sini


Sebenarnya saya nak tanya sahabat-sahabat, apakah cara terbaik untuk mahir berbahasa Arab?

Saya plan nak ikut cara DR DANIAL ZAINAL ABIDIN (idola saya).

Melalui cerita Dr Danial, sewaktu belajar Medic di Alexandria, Mesir, semua pembelajaran dalam English. Di sana, terdapat banyak ceramah daripada Sheikh-sheikh yang hebat. Tapi, Dr. Danial tak faham. Oleh sebab mempunyai motivasi yang tinggi untuk mendalami ilmu-ilmu daripada ulama-ulama, maka dia pun belajar bahasa Arab sendiri-sendiri. Dr Danial pandai bercakap bahasa Arab dengan cara menghafaz kamus bahasa Arab dan bergaul dengan orang Arab.

Kamus dah saya beli, baru hafaz 1 daripada 375 muka surat = 20 perkataan. Jauh lagi perjalanan. Moga Allah kuatkan semangat saya untuk belajar bahasa kampung saya.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, "kenapa kampung? Penulis berasal daripada Timur Tengah ke?"

Maksud saya, "Kita kan keturunan Nabi Adam, Nabi Adam kan tinggal di syurga sebelum berpindah ke bumi. Jadi, kampung asal kita semua syurga lah. Bahasa Arab kan bahasa Syurga."

Kalau ada orang tanya, "Kampung kat mana?" Jadi, jawablah syurga. ^^ InsyaAllah.

Ha, saya teringat satu soalan yang menarik.

Cuba check Firman Allah:-


”Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: ”Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”. Tuhan berfirman: ”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”

(Al-Baqarah:30)

Pernah sahabat-sahabat terfikir, kenapa Allah berfirman nak jadikan khalifah hidup di muka bumi sedangkan Allah ciptakan Nabi Adam a.s dan Hawa tinggal di syurga buat sementara waktu? Kenapa tak terus jadikan Nabi Adam a.s di muka bumi? Apa pentingnya peristiwa pohon larangan itu? Ingin saya tekankan di sini, tiada kesilapan pada wahyu Allah ini.

Saya tinggalkan sedikit homework buat sahabat-sahabat semua. Selidiklah menggunakan sumber-sumber yang sohih. Bertemu lagi di medan cyber ni dan kita akan bincangkan bersama-sama. InsyaAllah.

Kamus Bahasa Hari ini:-

Budu: Sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan bilis, ia merupakan makanan orang kelantan. Sedap! Lebih sedap sekiranya dimakan bersama-sama ikan bakar dan nasi putih panas-panas. Budu Cap Ketereh yang terbaik~.Sekali rasa, pasti termimpi-mimpi. (^_^)

wassalam..


Tuesday, August 17, 2010

Meng'iklan' Iklan Ramadhan

Salam warahmatullah..

Saya tak pasti kalau ada orang yang mempunyai minat yang sama seperti saya iaitu amat suka menonton iklan. Biasanya saya lebih minat tengok iklan berbanding menonton cerita yang ditayangkan. Lebih-lebih lagi kalau sudah berbulan-bulan tak tengok tv (duduk di asrama) Tapi, akhir-akhir ini, makin banyak iklan yang 'bukan-bukan' di tv Malaysia- tak sesuai ditonton oleh semua pihak dan ada juga yang tak sesuai dijadikan tontonan bagi Muslim. Ishk..ishk..ishk..

Anda semua perasan tak di bulan ramadhan ini, sungguh banyak iklan berbuka puasa. Iklan pelbagai jenis makanan ( Saji, Lipton, Marigold, lain-lain). Lebih-lebih lagi beberapa minit sebelum azan Maghrib di TV1. Tak kurang juga iklan untuk hari raya. Jualan murahlah..jualan runtuhlah...

Ramadhan baru bermula, iklan raya dah ditayangkan. Begitu kita tak sabar menanti hari raya sedangkan Ramadhan itu merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sepatutnya kita semua ternanti-nanti akan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Bukan menanti Ramadhan kerana Bazar Ramadhan. Kalau hanya disebabkan itulah, maka apa bezanya kita dengan Non-Muslim.

Seorang Non-Muslim beritahu saya, "Saya suka bulan ini, banyak jual kuih-kuih sedap-sedap."

Berbalik kepada tajuk post kali ini, sebenarnya saya nak meng'iklan' beberapa iklan yang dijumpai daripada youtube dan tv berkenaan BULAN RAMADHAN

*Iklan Petronas Malaysia. Mesti ramai yang pernah tengok iklan ini.Komen saya: "Saya suka iklan ini, ada pengajaran yang bermakna."

video

*Iklan Indonesia. Komen saya: "Iklan yang comel. Budak kecik ni memang comel" (pendapat saya lah)

video


*Iklan Arab (tak tahu negara mana) yang mempromosi salah-satu amalan ibadah di bulan Ramadhan iaitu Qiam. Sila rajin-rajinkan diri untuk menekan link ini. Komen saya: "Insaf"



*Iklan Arab yang mengajak memperbanyak bacaan Al-Quran. Komen saya :"Fenomena yang di luar kebiasaan kalau terjadi di Malaysia "(betul tak?)

*Iklan Indonesia yang mengajak kita memberi sedekah. Komen saya: "Iklan yang simple."


*Iklan Indonesia. Cerita tentang gosip atau mengumpat di bulan puasa. Komen saya: "Iklan ini comel dan memang ter'kena' lah."


*Iklan Indonesia mengisahkan budak tak tahan nak berbuka puasa. Komen saya: "Mak dia macam tau-tau je. Inilah yang dikatakan naluri keibuan."

Menarik sungguh iklan-iklan ini. Alangkah bagusnya kalau stesen tv di Malaysia banyak menayangkan iklan-iklan sebegini. Disamping menarik, terdapat juga pengajaran. Kita kata negara kita 'negara Islam'. Inilah salah satu cara menarik minat mereka bukan Islam untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam.

Semoga anda semua terhibur dan mendapat pengajaran daripada iklan-iklan yang saya kongsikan. Boleh juga memberi komen tetang iklan-iklan ini. Kalau nak berkongsi iklan yang menarik pon boleh. Tafaddhol !

Wallahu`alam

Sunday, August 8, 2010

Imam Muda



IMAM MUDA

"Anda yang menyaksikan pencarian imam muda unggul...."Tau tak dekat mana boleh dengar ayat ini? Inilah dialog yang selalu digunakan oleh hos Imam Muda 2010 di astro Oasis. Sudah berjaya pun mencari imam muda terunggul iaitu imam muda Asyraf.

Segelintir orang akan bertanya, "Program apa itu?" Program Imam Muda 2010 ialah rancangan kerohanian nntuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang peranan sebenar seorang imam.

Pada mulanya, saya memang tak nak tengok kerana saya sangkakan program ini melibatkan keuntungan melalui undian sms seperti Akademi Fantasia. Tapi rupanya pemarkahan diambil 50% ujian teori dan 50% ujian praktikal.

Mari kita lihat komen-komen negatif mengenai program realiti ini.

"Program ini nak cari glamor."
"Pendakwah tak semestinya ada uniform tertentu."
"Macam tunjuk baik saja."

Respon saya: Kenapa anda-anda ini selalu berfikir dari sudut negatif? (atau mereka ini tak puas hati kerana tak terpilih)

Kalau masuk tv saja dipanggil gila glamor. Benda yang baik pun dituduh itu dan ini. Bukankah lebih baik kita beri sokongan.

Program baik seperti ini memang patut di'glamor'kan. Bayangkan kalau tak dipromosikan, lebih-lebih lagi program islamik sebegini, sudah tentulah tak ada orang yang tahu.

Soal uniform pula, saya rasa tak ada masalah kalau peserta Imam Muda ada baju uniform tersendiri. Nampak lebih seragam. Dengan adanya baju uniform tak bermaksud semua pendakwah perlu memakai baju yang formal untuk berdakwah tetapi membawa mesej penting yang patut ada pada para pendakwah iaitu hendaklah berpakaian KEMAS dan BERSIH. Zuhud adalah sifat yang baik, tapi janganlah disalah ertikan dengan berpakaian comot dan kotor. Sehinggakan non-Muslim melihat Muslim itu berimej kusut.

Zaman sekarang artis selalu dijadikan contoh bagi remaja. Baru-baru ini ada pelajar AF secara rasminya diangkat menjadi ikon belia. Remaja mula terikut-ikut 'ikon' mereka. Hiburan keterlaluan dan batasan pergaulan tak dijaga. Inikah contoh yang baik bagi Muslim?
Saya berpendapat para peserta Imam Muda boleh dijadikan qudwah hasanah ataupun ikon Muslim Super. Antara ciri-ciri yang patut kita ikut:-

  • Setiap hujah ada dalil berdasarkan Al-Quran dan hadis.
  • Pandai mengaji Al-Quran dan mengetahui maknanya.
  • Hafal ayat Al-Quran.
  • Mengetahui bahasa Arab.
  • Berpengetahuan luas dalam agama.
  • Sahsiah terpuji
  • Pergaulan dijaga
Imam TUA vs MUDA

Kenapa mesti ambil pemuda untuk rancangan ini? Rasanya ramai yang dah tau ape jawapan nya..(klu : surah Al-Kahfi) sila rajin-rajinkan diri untuk mentelaah buku-buku. (perlukah saya huraikankan?)

EPISOD-EPISOD

Setiap episod dalam rancangan ini memberikan pembelajaran yang berbeza-beza bagi penonton terutamanya saya. Antara pembelajaran yang dipertontonkan ialah :-

  • Penyembelihan
Saya teringat satu presentation English dalam kelas saya, rakan sekelas menunjukkan cara-cara menyembelih ayam (ayam tiruan a.k.a patung ayam). Sejurus video penyembelihan ayam secara Islam yang sebenar ditayangkan, kedengaran rakan-rakan non-Muslim berbisik-bisik seolah-olah ngeri. Malangnya mereka tak diberitahu kebaikan daripada sembelihan sebegitu. Daripada episod Imam Muda, cara-cara dan hikmah penyembelihan ayam secara Islam dihuraikan dengan jelas.
  • Outdoor activities

Ada aktiviti sukan seperti paintball, berkayak, menunggang kuda. Ini menunjukkan kepentingan mempunyai fizikal yang sihat dalam diri pendakwah (cakap kat diri sendiri juga).
  • Penceraian
Episod Penceraian pula mengisahkan cara imam muda memberi kaunseling kepada pasangan yang ingin bercerai. Sewaktu saya di INTEC, seorang non-Muslim, Chinese, bertanya pada saya.

"Orang Islam ini kalo husband tak suke, dia just ckp, "I ceraikan U". But, perempuan tak boleh nak bercerai walaupun husband dia jahat. "

Lihat. Inilah satu daripada bermacam-macam salah faham tentang Islam dalam kalangan Non-Muslim. Mereka melihat Islam merendahkan martabat wanita sedangkan ada saluran lain yang boleh diambil oleh isteri iaitu memohon cerai.

Selain itu, para peserta menziarahi rumah anak yatim, dan rumah orang tua-tua. Sungguh menginsafkan dan menyedihkan.

Nabi SAW telah bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ibnu Maajah yang bermaksud:-

“Sebaik-baik rumah ialah rumah orang Islam yang ada di dalamnya anak yatim yang diasuh dengan baik dan sebaliknya seburuk-buruk rumah adalah rumah orang-orang Islam yang ada anak yatim tetapi tidak dijaga dengan baik”


Berdasarkan hadis ini, jelas betapa Islam mementingkan kebajikan anak yatim. Di kesempatan ini, saya mengajak kita semua meluangkan masa dan tenaga buat mereka yang memerlukan kasih sayang. InsyaAllah. Kita semua cuba sama-sama boleh?

Alhamdulillah, akhirnya siap juga post kali ini, setelah selama berhari-hari mengarangnya. Lama sebab tertangguh-tangguh oleh pelbagai perkara. Sejak Imam Muda masih belum melangkah ke final hinggalah ke hari ini. Syukur selesai juga. Saya berdoa moga rancangan Imam Muda Siri akan datang lebih memberi manfaat serta dapat menarik lebih ramai penonton dan akhirnya penonton-penonton dapat mempertingkatkan pengetahuan serta amal masing-masing.

Wallahu`alam

Thursday, July 22, 2010

Bertudungkan langsir Part 2


"Kalau aku pakai tudung labuh, nanti orang cakap aku nak tunjuk alim."hati saya mengeluh.

Lantas saya teringat satu tazkirah tentang riya'. Tak sangka, rupanya riya' bukan hanya untuk mereka yang menunjuk-nunjuk kebaikan, mereka yang tidak melakukan kebaikan kerana selain daripada Allah juga dikategorikan sebagai riya'.

Daripada Mahmud Labid, katanya: "Rasulullah bersabda: `Sesungguhnya perkara yang sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat bertanya: "Apa dia syirik kecil itu ya Rasulullah? "Baginda menjawab: "(Syirik kecil itu) ialah riak. Allah Taala akan berfirman pada hari kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"
(Imam Ahmad).


Kisah bermula..(plan ini adalah rahsia..tak ada siapa yang tahu)

Masa: 3hari sebelum kembali ke Intec setelah cuti Semester..

Misi: Drive ke bandar kajang-beli kain-hantar kain untuk jahit tepi

Susah juga nak cari kain tudung, bukan semua kain boleh guna untuk buat tudung labuh..dari 1 kedai ke 1 kedai..

Alhamdulillah dapat lah jugak dalam 3 helai tudung berlainan warna. Seterusnya, hantar jahit tepi. (bagi mereka yg tak tahu menjahit, baju kurung yg anda pakai pun seharusnya dijahit tepi terlebih dahulu)

"Letihnya hari ini.."keluh saya sambil berjalan ke kereta.
"Ha?! Kene saman! "saya terkejut campur takut. Terbayang duit melayang ke udara. Habislah kalau ayah tahu..Inilah padahnya letak kereta di tempat TAK sepatutnya ( "saya dah 3 kali pusing cari tempat kosong tapi tak ada"..agaknya polis terima tak alasan ni? )

Misi hari itu tercapai walaupun ada masalah..



Masa: Keesokan harinya

Misi: Ambil kain yang dah dijahit tepi-jahit utk dijadikan tudung-akhirnya...pakai!

"Mahalnya.. Kenapa mahal sangat?"terkejut saya dengan harga yang disebut oleh tukang jahit cina itu. Duit lagi..mungkin sebab kainnya pun panjang.

Dalam perjalanan balik ke rumah..

Saya terfikir sesuatu..

"apa yang aku dah buat ni..bukankah kena gunting ikut bentuk baru jahit tepi..adoi..silap pula..membazir duit aku tadi..sia-sia je lah..adoi" micro-tension menerpa.

Lantas saya call kakak saya- yang saya pernah cerita pada episod sebelum ini..

"Macam mana ni? Tersalah hantar jahit tepi..tambah pula,kite tak reti jahit tudung labuh..apa nak buat sekarang?" tanya saya dengan nada yang sedih.

"Adik tanya lah ibu..ibu reti jahit tudung labuh"cadang kakak saya.

Plan asal akhirnya terpaksa dibongkarkan pada ibu.

Saya ingat ibu akan marah, tambah-tambah lagi isu kena saman..Tapi sebaliknya, gelak ketawa memecah kesunyian petang tu..ayah dan ibu ketawa..lebih-lebih lagi ibu..

"Macam mana la adik boleh terfikir kena jahit tepi dulu."sambil ketawa lagi..

"Pelik..apa yang lucu sangat.."saya kemusykilan

Setelah dibantu ibu, akhirnya siap juga tudung labuh yang susaaaaah sangaaaaat nak buat tu.

"Betulkah aku ini boleh istiqamah?""Adakah sekarang ni sesuai untuk buat perubahan?""Apa pulak orang lain akan fikir?ikhlas kah niat aku ni?"dilema sungguh..dilema sungguh!


Malam itu saya buat istiharokh..dengan harapan Allah mantapkan niat saya..adakah ini masa yang sesuai untuk berubah ataupun tangguhkan saja niat saya buat sementara waktu..sesungguhnya Allah jualah perancang yang TERBAIK..

Allahu Akbar..malam itu saya mimpi..saya berada di sekolah lama saya dengan memakai tudung labuh sambil tersenyum gembira..Allahu Akbar..Subhanallah..

Dengan keyakinan yang dianugerahi, saya pun mulakan hidup baru dengan penampilan baru yang perlu juga diiringi dengan perubahan dalam beramal ibadah.susah..susah..

Masalah lain pula timbul..


"Nice outfit today!"
"Sejuk perut mak kau"
"Sejuk mata memandang"

Terima kasih banyak-banyak atas pujian itu..tapi syaitan menggunakannya sebagai senjata untuk melalaikan hati saya daripada niat asal. Tambahan pula, sms-sms itu daripada kaum Adam..Perkara terbaik yang boleh saya lakukan ialah biarkan saja mesej-mesej itu tak berbalas. Mungkin niat mereka ikhlas, tapi sayang, tidak kena pada tempatnya.

Teringat sebuah sajak ni..



Wahai wanita bertudung labuh…
Sungguh cantik terlindung rambut mu,
Sungguh ayu tertutup bentuk tubuhmu,
Yang terzahir jelas gaya kesopananmu,
Mengaburi segala yang tersirat di hati,
hanya diri sendiri yang menghakimi,
mungkin suci ikhlas kerana Illahi,
atau berdebu dengan sebab duniawi,
riak wajah nampak tawadhu’,
riak jiwa rupanya menunjuk-nunjuk,
alangkah ruginya andai benar begitu,
kerna azab masih tak terlepas dari mu,
serupalah sahaja diri mu ditunggu,
diseksa tidak ubah seperti wanita tak bertudung,
sama dengan mereka yang menyempang tudung,
oleh itu jadikanlah dirimu,
sebahagian daripada mereka yang bertudung,
bertudung labuh hingga ke paras dada,
tersemat jua bersamanya rasa taqwa….
petikan dari sumber: sila klik untuk sajak yang penuh

Astaghfirullah 3x..

Fitnah timbul

Masalah lain pula timbul. Berat rasanya nak bercerita tentang fitnah ini..Bukan satu tapi banyak..Fitnah dalam tugas, fitnah melibatkan lelaki itu, lelaki ini macam-macam lagi.

Fitnah-fitnah yang timbul sangat-sangat melemahkan semangat saya..Dan yang paling saya musykil, kenapa ada yang percaya dengan fitnah-fitnah tersebut. Betapa beratnya ujian ini sehingga saya hampir sahaja meletakkan jawatan sebagai Vice Pres PSC. Tapi dihalang oleh akhawat fillah.

"Kenapa macam-macam berlaku sejak aku berubah?"

Bila difikir-fikirkan, Aisyah Al-Humaira r.a isteri Rasulullah s.a.w pun pernah difitnah. Malah fitnah yang lebih dahsyat dari saya. Jadi, apalah sangat fitnah yang menimpa saya.

Maksud Firman Allah “celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela”(104:1)

Maka, biarlah Allah menghakimi kita semua di 'sana' nanti.

Selain itu, mesej-mesej perkenalan dari mereka yang bukan mahram semakin menjadi-jadi. Sehingga terasa ingin menukar nombor.

Buat Muslimin di luar sana, jagalah pandangan dan kelakuan anda, hormatilah setiap muslimat yang telah menjaga maruah mereka (memperbaiki pakaian dan tingkah-laku mereka.)

Begitulah kisah seorang hamba yang hina, yang ingin menuju Rabb. Doakan semoga kita semua dapat istiqamah dalam apa jua amalan yang dilakukan. Moga dapat memberikan iktibar ataupun inspirasi buat sahabat-sahabat.

Wallahu`alam