Showing posts with label kembara pentarbiyahan. Show all posts
Showing posts with label kembara pentarbiyahan. Show all posts

Friday, September 16, 2011

Hilangnya satu 'pinjaman'

Tempat: Kedai makan, Serdang
Masa: 2 ptg
Subjek: Saya dan Fatin

"Tak po, adik bayar pah ni..makan dulu"kata seorang pekerja kedai tersebut sambil tersengeh-sengeh gatal.

Kami pon duduk dan makan.

Fatin: "Itulah yang Fatin tak suka bila balik malaysia, orang lelaki 'tempe' (penduduk India) tak pon macam orang lelaki kat malaysia ni. Diorang tak kacau kita pon"

Saya: "Setuju!!!"

Setelah kekenyangan..

Saya: "Alhamdulillah kenyang. Dah lewat ni, jom kita balik"kata saya.

Kami pon berjalan menuju stesen komuter.

Fatin: "Ya Allah, purse Fatin tak ada. Tertinggal kat kedai makan tadi kot."

Saya: "Jom, kita patah balik cepat, takut abang kedai tu ambil pulak.Muka dia macam tak boleh dipercayai"

Setiba di sana, dia bertanya pada makcik tuan punya kedai.

Makcik: "Tak ada lah,nak.Em..ada nampak purse budak ni tak kat meja masa kemas tadi?"makcik bertanya abang gatal tadi.

Abang gatal: "Tak dop pon"

Saya dan Fatin saling berpandangan. Bukan duit yang dirisaukan, tapi segala kad-kad peting ada di dalam purse itu terutama student card dan IC card. Saya masih tak puas hati. Saya suspek 'abang' tu.

Saya: "Fatin bagi nombor Fatin, kalo abang tu betul-betul ambil, mungkin Allah akan gerakkan hati dia untuk pulangkan balik." cadang saya separa berbisik.

Fatin: "Boleh saya tinggalkan nombor hp saya kat makcik?013-*******. Manalah tau ada orang terjumpa dan beri makcik"

Kemudian kami mencari di sepanjang jalan yang kami lalui. Dua kali kami ulang-alik.

TAK ADA!!!

Allahuakbar!...saya menoleh melihat Fatin.

Dia tenang saja.

Fatin: "Tak apalah Adziemah, Kita balik la. Ada orang dah ambil agaknya. Kalo kat India, Fatin tinggalkan kunci motor kat motor pon 'tempe' tak curi"

Saya: "Innalillahi wainna ilaihi rojiun..Fatin sabar ya."

Fatin: "Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Baru tadi kat daurah kita semangat nak berjuang, terus Allah uji Fatin..Ya Allah, beratnya ujian ni"

Saya: "kite rasa, Allah pilih Fatin yang hilang purse dan bukan kite sebab Fatin lagi kuat dari kite. Kalau kite, mesti dah menangis memanjang. Kite teman Fatin balik sampai stesen bas ya?"

Fatin: "Tak payah Adziemah. Fatin ok"

Saya tetap membeli 2 tiket ke Bandar Tasik Selatan iaitu arah bertentangan untuk ke rumah saya, Kajang.

Saya lihat dia. Dia lihat saya. Kami diam sahaja.

Saya: "Fatin ok?"

Dia tersenyum kelat.

Sesampainya di stesen Bandar Tasik Selatan, dia bertegas tak mahu saya susah-susah temankan dia ke Titiwangsa.

Fatin: "Tak payah Adziemah, Fatin boleh jaga diri. Membazir je duit Adziemah. Fatin ada duit seringgit je..nak pinjam duit boleh?"

Saya: "Nah, rm50. Em, bolehla Fatin, jangan risau. tak susah pon. Kite risau Fatin pergi sorang macam ni. Tambah pulak tiket bas pon Fatin tak beli lagi. Hp kite pulak mati, lagilah risau"

Fatin: "Tak apa.....tak apa...Adziemah percaya kat Fatin, ok?"

Saya: "Ala...bolehla..sampai Titiwangsa je pon, bukan sampai Pahang."

Dia tetap bertegas tak mahu saya teman kan dia. Rasa serba salah. Saya tak mahu tinggalkan dia dalam keadaan sebegitu. Dalam masa yang sama saya tak mahu memaksa dia.

Saya: "Bolehla Fatin..."

Fatin: "Adziemah, Fatin nak bersama dengan Dia"

Saya: "ok..baiklah"tersenyap saya. Siapalah saya untuk menghalang seorang hamba dalam kesusahan yang ingin bersama Rabbnya.

Setelah berpelukan, dia pon berlalu pergi tanpa menoleh. Mata saya masih tertumpu padanya. Dia memberi sedekah kepada peminta sedekah di situ. Tersentuh saya.

Tiba-tiba ada seorang lelaki menyapa.

Lelaki: "Adik, boleh luangkan masa sikit. Kita sebenarnya ada satu borang untuk diisi. Ini untuk support anak melayu."

Fikiran masih bercelaru..tapi kesian pulak tengok lelaki itu. Saya pon pergi ke kaunter tersebut.

Seorang lelaki lain bercerita panjang lebar mempromosi satu kad insuran. Saya pon tak ingat apa namanya.

Allah saja lah yang tahu, tak faham apa-apa. Otak masih serabut, ditambah lagi dengan keserabutan. Tadi cakap kena isi borang je.

Saya: "Minta maaf sangat-sangat encik..sebenarnya saya tengah ada banyak masalah dalam kepala. Tak dapat nak fokus. Saya betul-betul tak boleh nak decide apa-apa,.. Minta maaf ya"

Lelaki lain: (muke agak kecewa)"eh, adik tak payah minta maaf, saya yang patot minta maaf ambil masa adik"

Saya pon berlalu..

Sedang saya duduk menunggu tren, saya banyak berfikir..

Muhasabah diri..

Hebatnya kawan saya ni. tabah..kami memang rapat. Saya kagum melihat dia. Sia sentiasa melihat semuanya yang berlaku adalah tarbiyah Allah untuk dirinya.

Dulu dia pernah cerita kat saya, dia selalu fikir, semut yang berjalan mendekati dia itu seolah-olah semut tu nak beritahu dia yang dia ada buat dosa hari ini.

Subhanallah, hebat nya dia

Terasa menyesal pulak kerana tak temankan dia.

Tanpa saya sedari, air mata pun mengalir..kesian kat dia. Ya Allah, Kau lembutkan lah hati orang yang ambil purse Fatin, gerakkan lah hati orang tu untuk pulangkan balik.

Datang 3 orang lelaki, duduk sebelah saya. Salah seorang dari mereka rupa macam orang pakistan, dia berketayap dan berjambang.

Mereka berbual dalam bahasa Hindi.

Seorang dari mereka,lelaki 'C' menegur saya.

Lelaki C: "komuter ini boleh gi serdang ke?"tanya lelaki C dalam loghat kelantan sambil tersenyum pelik

Saya: "ya"

Lelaki itu berpaling kepada kawannya. Bercakap sesuatu . Entah kenapa saya rase suaranya kali ini lebih kuat. Dia bercakap dalam bahasa Arab

Kemudian, kembali melihat saya.

Lelaki C: "adik orang mana dan nak pergi mana ni?"sambil asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulutnya.

Takut rasanya, saya pon berlalu dari situ.

Lelaki C: "Eh, adik nak gi dah ke? jangan lah pergi lagi"dengan nada pelik..

Adoi...Malaysia...Malaysia...

Tren tiba... saya memilih koc wanita..(pelaksanaan koc wanita adalah tindakan yang sangat bijak dari pihak KTM)

Sesampainya saya di rumah, saya bergegas mnelefon Fatin. Entah di mana dia sekarang.

Fatin: "Adziemah, Fatin ada kat Serdang ni. Tadi ada seorang kakak ni call Fatin, dia jumpa purse Fatin tercicir kat jalan. Ya Allah, Alhamdulillah, kakak tu try cari Fatin guna IC, tapi tak dapat. Allah gerakkan hati dia untuk tanya kat makcik kedai makan tu."

Saya: "Subhanallah!!"

Allahu rabbi..

Kalau difikirkan, Allah macam testing je, nak tengok bagaimana hambaNya menghadapi ujianNya.

Adakah berputus asa denganNya?

Menyalahkan takdir?

Ataupun semakin dekat padaNya?

Menjadikan Dia tempat bergantung...

Hebat sungguh cara Allah mentarbiyah sahabat saya ini. Sesuai lah dengan dia iaitu seorang yang hebat.

Allah tahu kemampuan kita, dan Allah akan uji dengan apa yang kita mampu sahaja.

bukankah itu janji Allah?
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا

Bersabarlah apabila diuji, kerana itu tanda nya Allah masih sayangkan kita.

Thursday, March 17, 2011

Rindu Si Dia


Assalamualaikum,

Selepas post sesuatu yang saspen sebelum ini, kali ini saya pilih tajuk yang saspen pula..

Sebenarnye si dia itu bukan orang..

Tapi dia itu merujuk kepada memori..memori indahla kan.. takkan memori yang tak best. Semua orang akan rindu memori yang best-best je.

Apa yang saya rindu tu?

Rindu akan ibu, ayah, adik-beradik, anak sedara yang di Malaysia. (ha, jangan nak perasan lebih-lebih)

Atau ayat mudah nye, home-sick..biasala, baru habis cuti sebulan.

Asalnya saya plan cuti lepas, saya akan study anatomy, biochem, physio.

Tengok video-video ustaz Azhar, blogging dengan artikel-artikel yang bermanfaat. Baca buku-buku sirah sahabat..

Tapi, akhirnye lain daripada yang dirancang.

Moral of the story, buat jadual!!!!!

Cerita nye bermula apabila aisyah al-humairah tak sihat. Jadi banyak perkara tergendala.

Aisyah selalu pengsan-pengsan. Padahal selalu bagi aisyah makan.

So, ayah dengan saya hantar Aisyah ke 'klinik'. Lama, nak dekat habis cuti baru Aisyah di benarkan pulang. Rindu betul dengan Aisyah.

Lupa nak cerita, Aisyah tu bukan anak sedara saya yang Aisyah Solehah tu..tapi Aisyah ni unik.
Dia kecil je..kemerah-merahan kulit dia..cantik, cute..

Berjenama COMPAQ..hehe..

Aisyah al humairah tu nama laptop saya. Kenapa bagi nama kat laptop?

Sebab...ustaz saya pernah cerita, Rasulullah s.a.w suke beri nama pada barang-barang baginda. Contohnya pedang.


*Sekadar gambar hiasan..family Aisyah humaira


Sejak itu, sahabat saya ramai yang beri nama pada laptop mereka. Start dengan saya, Aisyah pun lahir. Kawan saya pula letak nama sahabat rasulullah, Tariq bin Ziyad agaknya..(Sori atikah, tak ingat pula..hehe) Naimah pon join juga. Zulaikha sekali ke? tak ingat la..

Bercerita tentang Aisyah, saya tersangatlah sayang pada dia. Kalau di mana-mana daurah, dia selalu berbakti. Jasa lapto
p ini memang sesuai dengan nama nye.

Seolah-olah dia mengikut jejak Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah. Banyak menyumbang kepada Islam..

Jadi, laptop saya menjadi pemangkin untuk saya turut berjuang. Sama-sama menyebarkan Islam! InsyaAllah

Saturday, November 13, 2010

Teguran yang hebat! part 2


sambungan part 1...


Hari sudah pun senja..langit oren kemerah-merahan..Subhanallah!cantiknya permandangan.

Sekejap masa berlalu, sudah tiba waktu Maghrib..


SOLAT SEORANG MUSAFIR

Kami pun mencari-cari arah kiblat berpandukan alam ciptaan Allah..

Cuaca sudah tersangat gelap. Khuatir juga kerana banyak anjing berkeliaran di pantai..

Setelah menentukan kiblat, kami pon solat berhadapan laut yang tenang..

Subhanallah, kami solat Maghrib berjemaah di tengah-tengah pantai..

Sayu sungguh tersentuh dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran, bertemankan desiran ombak, bayu pantai yang sejuk, cahaya pula samar-samar saja..tenang dan mendamaikan hati..

Hebat sungguh alam dunia ciptaan Allah, apatah lagi di syurga sana..

Maksud terjemahan Al-Quran:
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,

(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(Surah Ali Imran: 190 dan 191)

Menitis juga air mata tatkala terngiang lagu Raihan dalam cerita Syukur 21,


"Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai...
Dengan rahmatMu...ampunkan daku...Oh Tuhanku.."

Hidup ini singkat, entah bila pula giliran kita..pengakhiran yang boleh jadi husnul khotimah atau sebaliknya..yang pasti, memang ada akhirnya kehidupan ini..insaf sungguh..

SHARING SESSION

Setelah solat, kami pon membuat sedikit sharing-sharing bersebelahan patung Mahatma Ghandi..

Terkesan sungguh dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang sahabat tentang pengalaman sekumpulan pelajar Muslimah Bangalore.

Kisahnya berlaku di kedai kasut di Bangalore,

Waktu solat sudah hampir habis, tapi niat di hati mereka, akan bergegas balik untuk solat di bilik selepas selesai membeli kasut..

Dalam asyik memilih kasut, owner kedai kasut itu bertanya kepada mereka,

"Have you all *namas?"tanya pakcik India tu.

Mungkin dia mampu mengagak mereka ini Muslim melalui pemakaian mereka.

"We have'nt namas yet."serba salah nak jawab.

"You have'nt namas?! It is already late"terkejut pakcik itu..memang dah tersangat lambat pun..

Pakcik itu pun menasihati mereka untuk solat segera. Baik sungguh hati pakcik itu, bukan sahaja nasihat mereka untuk segera solat, malah menawarkan kepada mereka untuk menggunakan satu bilik di dalam kedai itu..Bukan itu sahaja, demi keselesaan mereka, pakcik itu juga mencuci lantai bilik tersebut dan mengalaskan dengan plastik-plastik kedai.

Mulianya hati pakcik itu..

Tak pernah saya terbanyangkan akan ada seorang pekedai bertanya pelanggannya, "Awak dah solat?"

Inikan pula menyediakan tempat (yang asalnya bukan surau) untuk pelanggan yang belum pernah dikenali untuk tumpang solat.

Dalam tak sedar, sebenarnya itulah teguran Allah, bukan mereka saja malah buat kita semua yang mengetahui kisah ini. Iaitu, jangan melambatkan solat!

Mari kita renungkan hadith ini:

Abdullah bin Mas`ud telah bertanya kepada Rasululullah SAW: " Apakah amalan yang paling disukai Allah SWT?" Sabda Rasulullah: "Solat pada waktunya." Kata Abdullah: "Kemudian apa?" Sabda Rasulullah: "Berbuat baik kepada ibu bapa." "Kemudian apa lagi?"tanya Abdullah. Jawab Rasulullah :"Berjihad di jalan Allah SWT"

Riwayat Bukhari & Muslim


Boleh saja sekiranya Allah menegur kita yang melengahkan solat dengan menimpakan kemalangan jalan raya, bala, dan sebagainya. Boleh jadi juga, Allah tidak lagi menegur kita, tetapi menghentikan nafas kita. Dan waktu itu, tiada alasan untuk kembali ke dunia untuk melaksanakan solat yang kita lengahkan itu.

Buat renungan semua, "Masa kita di dunia semakin singkat, bersediakah kita untuk ke akhirat?" tepuk dada, tanya iman.


*p/s:
  • namas bermaksud solat
  • Dalam ayat 191 daripada surah Ali Imran, ada doa yang boleh kita semua baca ketika melihat keindahan alam.

Sunday, October 31, 2010

Teguran yang hebat!

Salam warahmatullah

Seronoknya 2 hari ini, adik beradik seusrah ziarah kami di Manipal. bangalore ke Manipal tersangatlah jauh, tapi kerana ikatan ukhwah yang kuat, jalan yang jauh pun terasa dekat..(ayat puitis tu)

Malpe Beach..

Believe it or not, di pantai ni, saya menaiki unta. Wah, menaiki unta di atas pasir-pasir pantai sambil dikelilingi warga India(pelancong asing la katakan)..pelik tapi benar.hehe

Sesi dialog di atas unta:

Adziemah: "Wah, kita dapat naik haiwan tunggangan Rasulullah s.a.w..seronoknya!!"saya sungguh teruja..

Atikah: "Aah la..wow hebatnya!!"

Adziemah: "Siap atas pasir lagi tu, macam ayat-ayat cinta"

Begitu lah situasinya apabila Malaysian jumpa unta..


Bersambung...

p/s: buat masa sekarang, kisah-kisah saya akan bersambung-sambung..memandangkan kesuntukan masa..

Friday, October 22, 2010

"Beli kat Malaysia ! "

Tempat kejadian: Malaysia

Situasi 1


Pada satu petang, Ali sedang membeli-belah di sebuah pusat membeli-belah, kedengaran daripada corong radio, "Belilah barangan tempatan"

Ali tergelak mendengar ayat tersebut. "Barangan Malaysia? ee..tolonglah..tak berkualiti langsung!"kata Ali dengan penuh angkuh.

Sering kali kita dengar barangan tempatan diperlekehkan dan diketepikan. Kadang-kadang bukan kerana kualiti tetapi jenama yang berbaur 'tempatan'.

Mungkin saya tergolong diantara golongan terbabit. Sehinggalah peristiwa di bawah berlaku...

Tempat kejadian: Manipal,India

Situasi 1

"Wah, lawanya botol air kau ni. Berkualiti tu. Nak beli jugak la. Beli kat kedai mana?"tanya M sambil mengetuk-ngetuk botol tersebut. Dia sangat teruja untuk tahu.

"Saya bawa dari Malaysia.."sambil menunjukkan riak penuh kebanggaan.

Situasi 2

"Cantiknya payung!!!Beli kat mana?"

"Mestilah Malaysia. Tak ada maknanya kat sini ada jual payung secantik ni."berlagak sungguh bunyinya.

*sekadar gambar hiasan. Ops, silap letak gambar. Sepatutnya letak gambar payung Malaysia. Tapi tak apala. Ini payung kat Jepun, best kan? Mungkin boleh cuba jual kat Malaysia.

Situasi 3

"Cuba picit-picit roti tu, lembut ke tak.."tanya B. Hampir kesemua roti yang ade di kedai tersebut dipicit-picit oleh B.

"Semuanya keras lah.."keluh rakan B..kecewa..

"Memang tak ada roti selembut Gardenia or High-five ke kat sini? Semuanya keras.."B membebel-bebel.


Pak cik kedai pula menjeling semacam ke arah mereka..

Mungkin dalam hati dia, dia tertanya-tanya, "Apa yang budak dua orang ni buat, di picit-picit roti tu. Nak beli ke nak hancurkan?"(dalam bahasa karnada..lebih kurang bahasa hindustan)

(Selingan: Untuk pengetahuan, pernah 1 hari, saya nak lipat roti tu, sampai terpatah dua, bayangkan kekerasannya..)

Begitulah sedikit kisah yang boleh saya kongsikan, bila berada di sini, makin lama, makin rasa sayang dengan tanah air tercinta. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. (siap ada pepatah melayu..macam karangan Bahasa Malaysia).

Teringat kalimah-kalimah cinta teragung iaitu...

Maksud firman Allah swt:

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.
Surat 14. IBRAHIM - Ayat 7

Sebenarnya, kita hanya akan bersyukur apabila sesuatu nikmat itu hilang. Jadi, buat sesiapa yang asyik merungut tak puas hati dengan kehidupan anda, tengok lah orang yang lebih teruk keadaanya daripada anda.

Jangan melihat orang yang lebih senang, nanti hilang rasa syukur, timbul pula rasa kufur..

Akhir kata, tajuk sharing kali ini ialah: SYUKUR, ALHAMDULILLAH...

Wednesday, September 1, 2010

Packing~

Salam warahmatullah,

Begitu cepat masa berlalu, tak lama lagi akan bermusafir ke negara asing. Teringat 'TO DO LIST' yang saya buat sejurus selepas Final Exam A-Level. Antaranya:-

  • memperbanyak hafazan Al-Quran
  • cuba habiskan buku Raheeq Makhtum (sirah Rasulullah s.a.w)
  • baca buku-buku sirah sahabat
  • belajar memasak macam-macam daripada Chief Chef = ibu ^^(alhamdulillah, banyak resepi berjaya saya muatkan dalam buku resepi elektronik..)
  • belajar menjahit baju kurung (tak lama lagi akan berjaya menghasilkan baju raya buat si kecil ecah..seronoknya!kalau dah siap nanti, saya postkan gambar)
  • ambil kelas bahasa arab
Apabila saya check, ada juga yang belum terlaksana dengan jayanya. Walau bagaimanapun, syukur ada buat senarai, kalau tidak, tidur dan tengok tv saja lah jawabnya.

*Moral of the story = kepada yang akan bercuti panjang, sila plan masa cuti anda sebaik-baiknya. Paling penting, buat seperti dirancang.




Bertebaran di bumi India




Melaka Manipal Medical College..inilah tempat yang bakal menyaksikan usaha gigih saya untuk menjadi doktor muslim yang SUPER. InsyaAllah.

Bila di fikir-fikir, rasa seperti Khalid Al-Walid, mengembara ke pelusuk dunia bagi menyampaikan risalah. Bezanya cuma, jenis jihad dan pengangkutan.

Zaman sekarang, kalau tunggang kuda macam panglima Khalid Al-Walid, mesti terlepas 1 semester pengajian di sana. hehe..(.entah-entah kuda sampai India tapi saya tertinggal di tengah perjalanan)

Packing bag

Terima kasih Hasenah (Sen) a.k.a bakal senior yang sebaya. Sen ni antara ahli geng stay up BATWOMEN semasa di SESERI. Terima kasih sebab sudi share list keperluan yang perlu di bawa. ^^



Tapi terasa berat hati sungguh nak pack barang..mungkin disebabkan banyak sungguh perkara yang menyedihkan baru-baru ini..tak patut..tak patut macam ni..Ya Allah, kuatkan semangatku dan damaikanlah hatiku...ameen..

Buku-buku WAJIB bawa

Ustaz nasihat kami supaya jangan lupa bawa buku-buku wajib..

Ustaz pesan."Kamu semua jangan lupa bawa buku Raheeq makhtum, Muntalaq, Fiqh Sirah, buku tu..buku ni.. (ustaz telah menyenaraikan buku yang sangat banyak)"

"bawa softcopy boleh tak ustaz?"saya bertanya. (lebih ringan)

"kalau softcopy, enti malas nak baca nanti. Ustaz tahulah."bidas ustaz. (betulla kata ustaz, sebab baca softcopy raheeq makhtum lah, saya tak khatam-khatam lagi. Sakit mata dan malas nak menghadap laptop 24 jam)

"Tak payah bawa banyak sangat makanan, rugi nanti. Kalau makanan, akan habis, tapi kalau buku, tak akan habis dan berguna sampai bila-bila. Lagipun buku-buku ini tak ada jual kat sana, nanti hati kosong kalau tak diisi." tambah ustaz lagi.

Betul tu, keperluan seorang Da`ie ialah ilmu yang sohih. Ilmu tanpa amal sia-sia, amal tanpa ilmu akan sesat. Hati ini ibarat tanah, kalau tak disiram, maka kering kontang lah ia. Lalu, pohon ataupun amalan pun akan mati.

Akhir kata, doakan saya bersemangat semula..Allahu akbar!

Info: Raheeq makhtum (the sealed nectar) mengisahkan sirah Nabi Muhammad s.a.w. yang ditulis oleh Syeikh Safy Al-Rahman al-Mubarakfuriyy, telah memenangi hadiah tempat pertama pertandingan Seerah Rabitah Alam Islam,Mekah.

Wassalam

Thursday, July 22, 2010

Bertudungkan langsir Part 2


"Kalau aku pakai tudung labuh, nanti orang cakap aku nak tunjuk alim."hati saya mengeluh.

Lantas saya teringat satu tazkirah tentang riya'. Tak sangka, rupanya riya' bukan hanya untuk mereka yang menunjuk-nunjuk kebaikan, mereka yang tidak melakukan kebaikan kerana selain daripada Allah juga dikategorikan sebagai riya'.

Daripada Mahmud Labid, katanya: "Rasulullah bersabda: `Sesungguhnya perkara yang sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat bertanya: "Apa dia syirik kecil itu ya Rasulullah? "Baginda menjawab: "(Syirik kecil itu) ialah riak. Allah Taala akan berfirman pada hari kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"
(Imam Ahmad).


Kisah bermula..(plan ini adalah rahsia..tak ada siapa yang tahu)

Masa: 3hari sebelum kembali ke Intec setelah cuti Semester..

Misi: Drive ke bandar kajang-beli kain-hantar kain untuk jahit tepi

Susah juga nak cari kain tudung, bukan semua kain boleh guna untuk buat tudung labuh..dari 1 kedai ke 1 kedai..

Alhamdulillah dapat lah jugak dalam 3 helai tudung berlainan warna. Seterusnya, hantar jahit tepi. (bagi mereka yg tak tahu menjahit, baju kurung yg anda pakai pun seharusnya dijahit tepi terlebih dahulu)

"Letihnya hari ini.."keluh saya sambil berjalan ke kereta.
"Ha?! Kene saman! "saya terkejut campur takut. Terbayang duit melayang ke udara. Habislah kalau ayah tahu..Inilah padahnya letak kereta di tempat TAK sepatutnya ( "saya dah 3 kali pusing cari tempat kosong tapi tak ada"..agaknya polis terima tak alasan ni? )

Misi hari itu tercapai walaupun ada masalah..



Masa: Keesokan harinya

Misi: Ambil kain yang dah dijahit tepi-jahit utk dijadikan tudung-akhirnya...pakai!

"Mahalnya.. Kenapa mahal sangat?"terkejut saya dengan harga yang disebut oleh tukang jahit cina itu. Duit lagi..mungkin sebab kainnya pun panjang.

Dalam perjalanan balik ke rumah..

Saya terfikir sesuatu..

"apa yang aku dah buat ni..bukankah kena gunting ikut bentuk baru jahit tepi..adoi..silap pula..membazir duit aku tadi..sia-sia je lah..adoi" micro-tension menerpa.

Lantas saya call kakak saya- yang saya pernah cerita pada episod sebelum ini..

"Macam mana ni? Tersalah hantar jahit tepi..tambah pula,kite tak reti jahit tudung labuh..apa nak buat sekarang?" tanya saya dengan nada yang sedih.

"Adik tanya lah ibu..ibu reti jahit tudung labuh"cadang kakak saya.

Plan asal akhirnya terpaksa dibongkarkan pada ibu.

Saya ingat ibu akan marah, tambah-tambah lagi isu kena saman..Tapi sebaliknya, gelak ketawa memecah kesunyian petang tu..ayah dan ibu ketawa..lebih-lebih lagi ibu..

"Macam mana la adik boleh terfikir kena jahit tepi dulu."sambil ketawa lagi..

"Pelik..apa yang lucu sangat.."saya kemusykilan

Setelah dibantu ibu, akhirnya siap juga tudung labuh yang susaaaaah sangaaaaat nak buat tu.

"Betulkah aku ini boleh istiqamah?""Adakah sekarang ni sesuai untuk buat perubahan?""Apa pulak orang lain akan fikir?ikhlas kah niat aku ni?"dilema sungguh..dilema sungguh!


Malam itu saya buat istiharokh..dengan harapan Allah mantapkan niat saya..adakah ini masa yang sesuai untuk berubah ataupun tangguhkan saja niat saya buat sementara waktu..sesungguhnya Allah jualah perancang yang TERBAIK..

Allahu Akbar..malam itu saya mimpi..saya berada di sekolah lama saya dengan memakai tudung labuh sambil tersenyum gembira..Allahu Akbar..Subhanallah..

Dengan keyakinan yang dianugerahi, saya pun mulakan hidup baru dengan penampilan baru yang perlu juga diiringi dengan perubahan dalam beramal ibadah.susah..susah..

Masalah lain pula timbul..


"Nice outfit today!"
"Sejuk perut mak kau"
"Sejuk mata memandang"

Terima kasih banyak-banyak atas pujian itu..tapi syaitan menggunakannya sebagai senjata untuk melalaikan hati saya daripada niat asal. Tambahan pula, sms-sms itu daripada kaum Adam..Perkara terbaik yang boleh saya lakukan ialah biarkan saja mesej-mesej itu tak berbalas. Mungkin niat mereka ikhlas, tapi sayang, tidak kena pada tempatnya.

Teringat sebuah sajak ni..



Wahai wanita bertudung labuh…
Sungguh cantik terlindung rambut mu,
Sungguh ayu tertutup bentuk tubuhmu,
Yang terzahir jelas gaya kesopananmu,
Mengaburi segala yang tersirat di hati,
hanya diri sendiri yang menghakimi,
mungkin suci ikhlas kerana Illahi,
atau berdebu dengan sebab duniawi,
riak wajah nampak tawadhu’,
riak jiwa rupanya menunjuk-nunjuk,
alangkah ruginya andai benar begitu,
kerna azab masih tak terlepas dari mu,
serupalah sahaja diri mu ditunggu,
diseksa tidak ubah seperti wanita tak bertudung,
sama dengan mereka yang menyempang tudung,
oleh itu jadikanlah dirimu,
sebahagian daripada mereka yang bertudung,
bertudung labuh hingga ke paras dada,
tersemat jua bersamanya rasa taqwa….
petikan dari sumber: sila klik untuk sajak yang penuh

Astaghfirullah 3x..

Fitnah timbul

Masalah lain pula timbul. Berat rasanya nak bercerita tentang fitnah ini..Bukan satu tapi banyak..Fitnah dalam tugas, fitnah melibatkan lelaki itu, lelaki ini macam-macam lagi.

Fitnah-fitnah yang timbul sangat-sangat melemahkan semangat saya..Dan yang paling saya musykil, kenapa ada yang percaya dengan fitnah-fitnah tersebut. Betapa beratnya ujian ini sehingga saya hampir sahaja meletakkan jawatan sebagai Vice Pres PSC. Tapi dihalang oleh akhawat fillah.

"Kenapa macam-macam berlaku sejak aku berubah?"

Bila difikir-fikirkan, Aisyah Al-Humaira r.a isteri Rasulullah s.a.w pun pernah difitnah. Malah fitnah yang lebih dahsyat dari saya. Jadi, apalah sangat fitnah yang menimpa saya.

Maksud Firman Allah “celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela”(104:1)

Maka, biarlah Allah menghakimi kita semua di 'sana' nanti.

Selain itu, mesej-mesej perkenalan dari mereka yang bukan mahram semakin menjadi-jadi. Sehingga terasa ingin menukar nombor.

Buat Muslimin di luar sana, jagalah pandangan dan kelakuan anda, hormatilah setiap muslimat yang telah menjaga maruah mereka (memperbaiki pakaian dan tingkah-laku mereka.)

Begitulah kisah seorang hamba yang hina, yang ingin menuju Rabb. Doakan semoga kita semua dapat istiqamah dalam apa jua amalan yang dilakukan. Moga dapat memberikan iktibar ataupun inspirasi buat sahabat-sahabat.

Wallahu`alam

Monday, July 5, 2010

Bertudungkan Langsir



KISAH BENAR (sekadar sharing untuk dicontohi yang mana molek)

ERA KEJAHILAN

"Kenapa pakai tudung ini, tudung macam yang kite(kata ganti diri SAYA) pakai ni salahke? tutup aurat juga apa." ujar saya menprotes kakak saya yang sedang menggosok tudungnya yang 'pelik'.

Tapi, kakak saya hanya senyap. Mungkin terkejut ataupun tak nak bergaduh..

Hati saya panas dan berlalu pergi dari situ. Saya tak puas hati, apa masalahnya dengan tudung bawal. (walaupun dia tak cakap apa-apa mengenai tudung saya)

Pada masa tu, kakak saya student baru di UNIMAS, Sarawak

Sewaktu dia balik bercuti di rumah, macam-macam benda pelik yang dia lakukan (mungkin pelik pada saya seorang) :-

  • Pakai tudung labuh bak langsir.
  • Berstokin.
  • Tangan pun pakai stokin (istilahnya STONGAN).
  • pemakaian pula dah macam guni bergerak. (tak nampak bentuk badan)
  • Memboikot pelbagai barang (sampaikan saya tak nak pergi shopping dengan dia lagi)
  • Banyak lagi....
Saya kompius "Apa dah jadi dengan kakak aku sorang ini.."

Dalam bilik saya di kolej pula, hanya saya saja yang tak pakai stokin. Setiap kali keluar rumah, memang saya pelik kenapa kawan-kawan yang lain pakai stokin. (padahal pergi pasar malam saja pun). Tapi saya tak pernah berani untuk bertanya kenapa, mengapa, bagaimana..

Mungkin fesyen kot..

ERA KESEDARAN

Pada satu hari dalam usrah, naqibah saya (kak aisyah) cakap "kalau kita yakin pakaian kita menutup aurat, kenapa kita ragu-ragu untuk gunakannya untuk solat?"

Balik dari usrah saya pun berfikir, fikir dan fikir lagi..

"Apa masalahnya dengan pakaian aku? Kalau ikutkan memang tak boleh bawa solat pun. Aurat dalam solat kan hanyalah muka dan tapak tangan. "saya bermonolog dalaman.
  • Tudung yang jarang.
  • Kadang-kadang boleh terlihat leher(walaupun ber 'pin' dua)
  • Kaki tak tutup
  • Lengan kadang-kadang terdedah (lebih-lebih lagi baju kurung yang licin tu)
So, berdasarkan list di atas, memang pakaian saya 'out' la.

Kenapa waktu solat baru saya jaga aurat sedangkan masa lain tak..Walhal, Allah kan sentiasa melihat. Allah bukan melihat kita waktu solat saja! Sepatutnya...


Dengan hidayah yang Allah kurniakan, saya mula memakai stokin. Tapi rasa pelik sangat. Rasa pelik sebab kiri kanan orang pandang pelik. Di rumah, di kampus mahupun kolej. Mungkin sekali pandang macam orang berpantang (hehe). Tapi tak kisah lah..Yang penting pandangan Allah.

Tudung pula bertukar dari tudung bawal yang jarang kepada tudung bercorak yang tak jarang. Dari dua kepada tiga brooch (tambah satu di leher)

Saya pun mula memakai 'stongan'. Alhamdulillah..syukur dengan perubahan pada diri.

ISU TUDUNG LABUH

*gambar pelakon korea Full House dan Autumn in My Heart (lawa juga kan dia pakai tudung?)

Saya masih tak dapat jawapan kenapa ada yang pakai tudung labuh?

Pilihan jawapan yang saya terfikir mungkin :-
  1. Fesyen orang alim-alim. Macam ustazah. (pilihan ini 'reject'.. tak kan lah sebab fesyen saja)
  2. Lebih sempurna dalam menutup aurat (bentuk badan)
  3. Menjaga diri dari menjadi perhatian kaum Adam (mungkin terjaga 'sikit'..dah memang namanya lelaki)
  4. Isteri-isteri Rasulullah s.a.w pun pakai (bak kata Ustaz Azhar Idrus ini yang paling afdhal..sila-sila la klik untuk mendengar ceramah beliau yang bertajuk 'Berkahwin berpisah kerana Allah')
Akhirnya saya merancang untuk bertudung labuh..

Tapi pelbagai masalah yang timbul..bermacam-macam dugaan seolah-olah Allah tak izinkan

Bersambung...

* p/s: kisah ini hanya untuk perkongsian (mungkin ianya membantu)

Tuesday, June 29, 2010

ALM Grand Dinner

A-LEVEL Medicine Grand Dinner...

Ramai yang bertanya pada saya

"Buat gerakan 'anti-tak nak join dinner' kah?"
"Kenapa tak join dinner?"
"kenapa tak beli tiket?"

sampaikan seorang lecturer pun tanya saya pergi atau tak pergi..
dan jawapan standard--balik, tiket mahal, atau tersenyum saja..

Jawapan:

Pertama: Muzik

Saya suka dengar muzik, (sejak azali mungkin)
Saya takut, kalau saya pergi hati saya akan bernyanyi mengikut alunan muzik..
Hati pun terhibur..Hati pun lalai..'Sound in head' pun berlaku..
Dan yang pasti bukan muzik yang mengajak pendengarnya mengingati Allah..(ya Allah, aku berlindung dari semua ini)

Kedua: Wang

Bukan saya tak ada duit,
Tapi rasa tak sanggup nak habiskan duit beli tiket (RM65), baju dan tudung(+RM80) dan kasut baru (+RM40)..
Kalau totalkan jumlah duit, lebih kurang RM200
Teringat kisah jenaka yang tak lawak tentang duit RM1 dengan RM50.. (mesti semua orang tau kisah ini kan?)
Kalau duit itu dapat disalurkan kepada program-program islami mesti lagi best kan?
Boleh infak untuk jaulah, daurah, usrah.DF adik-adik.. ^.^ Best 3x!

Ketiga: Masa


Bak kata pepatah, 'Masa Itu Petroleum'
betapa berharganya masa (minyak kan mahal sekarang ini)

Sedar tak sedar..
Umur sudah berangka dua di depan, tapi list amalan lebih pendek dari resit mydin..
Rasa-rasanya tak sempat untuk menghiburkan hati dan perut..
Jadi, ambil keputusan untuk join mana-mana daurah..
Tapi daurah kali ini dengan ustaz di rumah 'Fateh', Bangi....jauh....esoknya ada interview pula
Akhirnya, insyaAllah plan nak join ceramah di cemara yang bertajuk 'Celaka Israel'

Keempat: Tabarruj

Saya risau saya akan menjadi antara orang yang berusaha menarik perhatian orang lelaki dengan tabarruj..

Begitulah fenomena yang akan berlaku pada saya sebagai manusia biasa..
Syaitan sentiasa akan menggoda..untuk mengajak kita menjadi sahabat dia..
Kita pun mula berhias dengan cara 'luar biasa'..make-up, baju..
Sedangkan Islam melarang

Dalil:

Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [An-Nur (24):31].

>>>>Oleh itu, berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang.
sila klik

Buat akhawat yang pergi ke majlis ini, (ada juga yang terpaksa pergi)..
Ana harap bermujahadah lah di sana..
Kalau mampu, kawal la keadaan di sana..
Lindungi lah diri dari perkara lagho
Ana tak mampu untuk ke sana dan menasihati seperti yang dilakukan oleh seorang ulama (pergi ke sebuah disko dan menasihati mereka)

Kerana ana seorang yang lemah..Astaghfirullah
Moga Allah tingkatkan iman kita semua..


Kamus Hari Ini:

Tabarruj- perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai, tetapi tanpa membuka aurat

Akhir kata, gambar di sebelah buat renungan bersama

Wallahualam

Friday, April 9, 2010

Perang Muktah di Zaman Facebook


Saat duit syiling dilambung, maka bermulalah detik bersejarah dalam diri ini..

Dilantik menjadi panglima perang oleh pasukan Saifullah.

Ibarat tenggelam ke tanah memikul amanah..

Assalamualaikum ikhwah n akhawat fillah..intro kali ni macam suspen sikit.suspen ke? sebenarnya, inilah war game yang saya gelar sebagai Perang Muktah.

Perancangan Stratergi Peperangan

"Pasukan Saifullah (pedang Allah), takbir!!!" saya sebagai panglima menyeru pasukan

"Allahu akbar!!!"sungguh bersemangat akhawat fillah tika itu..

"OK, saya berpendapat lebih baik kita mencontohi stratergi peperangan Raslullah s.a.w. Kita akan aplikasikan stratergi Panglima Tiga Serangkai"

Sedikit Fakta:

Dalam peperangan Muktah, Rasulullah s.a.w meletakkan Zaid bin Harithah sebagai panglima perang dan berpesan:”Jika Zaid gugur sebagai gantinya Jaafar bin Abi Talib, jika Jaafar pula terkorban maka gantinya adalah Abdullah bin Rawahah”.

"Saya melantik Ala` pemegang panji pertama, sekiranya Ala` gugur syahid, Syafiqah akan menjaga panji, jika Syafiqah terkorban maka sayalah gantinya"


"Bagi menjaga belon-belon yang terikat pada kaki tentera-tentera kita, saya amanahkan tentera tanpa belon menjaga mereka secara berpasangan"

Setelah ejen perisikan membuat undian, pasukan Saifullah mendapat peluang utk memilih tapak pertahanan..

Dua-dua kawasan dekat dengan sumber air. Hanya yang membezakan 2 tempat tersebut ialah satu, berbukit manakala satu lagi tanah rata..

"Bukit-bukau sesuai menjadi benteng pertahanan supaya mudah melihat musuh"kata mujahidah dari pasukan kami.

Sepanjang perjalanan kami melaungkan takbir. Setelah Saifullah bersedia di medan tempur, pasukan musuh pun datang.

Dari kejauhan, saya melihat mereka ibarat satu ombak yang besar. Mereka saling memegang lengan masing-masing, berjalan seiringan.

Melihatkan situasi itu, pasukan Saifullah gentar, maka saya pun melaungkan,
"menang ataupun syahid!!!" untuk menyuntik semangat para tentera.

"Ya Allah, ya tuhan kami, tetapkan lah hati kami dalam peperangan ini. Semoga melalui war game ini, kami peroleh sesuatu. Menang atau kalah bukan la pengukur kemenangan kami, tapi sejauh mana keimanan kami kepadaMu. Amin ya rabbal `alamin."maka seramai lebih 50 orang tentera Saifullah mengaminkan doa tersebut.

Sejurus kemudian, pihak lawan pula membaca doa..aik, tak macam perang muktah pun. perang muktah kan peperangan antara 3000 tentera muslimin dengan 200, 000 tentera Rom(orang kafir). <--memanglah, nama pun war game antara akhawat fillah..namanya game tapi semangat berkobar-kobar ibarat mengejar syahid.

Siren berbunyi..

Maka bertempur la tentera Saifullah dan tentera musuh di medan peperangan di Kem IMAN, Jugra, Negeri Sembilan.. Kedua-dua pasukan berperang tanpa senjata dan kuda..

Saya dan beberapa tentera Saifullah menyerang pemegang panji pihak musuh. Salah seorang dari kami cuba merampas panji, lalu mengakibatkan Panglima musuh gugur terjelepok ke tanah..honestly, saya tak suka tgk situasi ini.terkejut melihat perebutan yang agak dahsyat di depan mata. Sebelum saya mengambil panji itu, sempat saya berkata pada panglima musuh tersebut, "ya Allah, mintak maaf, sakit ke?"

Memikirkan panji ditangan, saya pun berlari ke sempadan medan peperangan. Perjalanan yang jauh, dengan kelajuan cahaya, sehingga saya hampir tersungkur ke tanah, ..exaggeration sungguh hehe..

Alhamdulillah saya sampai ke sempadan dengan selamat. Hampir hilang separuh nyawa. tu la, akibat lama tak exercise

Dek kerana mereka terlalu asyik berperang, dua-dua pihak masih asyik berlawan sedangkan pasukan Saifullah sudah pun menang. Saya pun melaungkan "takbir!!!"

Semua orang memandang saya..tentu sahaja terukir senyuman pada Pasukan Saifullah manakala wajah kebingungan tentera musuh.

"takbir!!!"
"Allahu akbar!!"
"takbir!!"
"Allahu akbar!!"
"takbir!!"
"Allhahu akbar!!"

Setelah mengira belon yang masih selamat serta pasukan yang berjaya merampas panji, pasukan Saifullah memenangi war game itu..

Sungguh memenatkan tapi sangat menyeronokkan..

Namun begitu, saya tersedar. War game ini melibatkan akhawat fillah. Yang berpaksi kan akidah yang satu. Seumpama peperangan antara muslimin sendiri.

Kita lihat keadaan sekarang, muslimin tak bersatu. masing-masing bergaduh, berebutkan harta dunia. hingga menyebabkan orang kafir goyang kaki di luar. Ada juga yang bergaduh kerana berebut mad`u.

Ayuhlah ikhwah dan akhawat fillah, janganlah kerana kita tak sama jemaah membuat kan kita semua terpisah kerana sesungguhnya bapa kita sama iaitu Islam. Matlamat kita sama iaitu Islam menjadi Ustaziatul Alam.

Al-Muslim akhul Muslim

Maksud Sabda Rasulullah saw :

“Seorang muslim adalah saudara muslim lainnya, janganlah ia menzalimi saudaranya, dan jangan pula menyerahkannya pada musuh, dan selama ia memperhatikan kebutuhan saudaranya maka Allah swt memperhatikan kebutuhannya” (Shahih Bukhari)



Ukhuwwah fillah abadan abada ya akhi, ya ukhti.

Wallahu`alam..